Jumaat, 26 Mac 2010

Benjy bebas sekejap

KUALA LUMPUR: Bagaikan babak drama apabila suasana di luar kaunter pembayaran ikat jamin Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, kecoh' seketika semalam, selepas pelakon Benjy yang baru beberapa minit diikat jamin oleh ibunya, ditahan semula oleh pihak polis.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 31, ketika itu baru melangkah keluar dari kaunter membayar ikat jamin selepas ibunya, aktres Azean Irdawaty membayar wang jaminan RM2,000 seperti diperintahkan Mahkamah Majistret.


Kurang lima minit dia 'dibebaskan', Benjy didatangi sekumpulan lima anggota polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang memaklumkan mereka terpaksa menahannya semula untuk disiasat lebih lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Dan Kawalan Khas).


Peguam Amer Hamzah Arshad, bapa, Khairil Anwar dan adiknya, Elza Irdalynna Khairil Anwar, 23, kelihatan terkejut apabila pelakon itu ditahan.


“Kenapa ni? Anak saya dah bebas. Apa yang berlaku tolong jelaskan kepada saya,” kata Azean yang terpinga-pinga.


Dalam keadaan penuh emosi itu, Benjy sempat bersalam dan mencium tangan ibunya sebelum dibawa ke IPK Kuala Lumpur.

Amer Hamzah yang turut terkejut dengan penahanan itu meminta polis memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku.


“Saya kesal dengan cara mereka (polis). Tidak ada seorang pun yang datang kepada saya dan menjelaskan dengan sebaiknya apa yang berlaku.


“Saya cuma ingin tahu sebab apa anak saya ditahan semula. Bila saya tanya polis tadi, dia hanya suruh saya tanya kawannya dan kata jumpa pegawai bernama Tuan Kang di IPKKL. Itu saja.


“Tidakkah mereka kasihan dengan saya sebagai seorang ibu yang sakit ditambah pula dengan keadaan begini. Saya tidak tahu nak pergi mana. Saya bingung..,” kata Azean dalam suara yang serak kerana demam.


Turut hadir memberi sokongan kepada Benjy, pelakon Elie Suriatie.

Terdahulu pada jam 12.20 tengah hari semalam, pelakon itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan memiliki methamphetamin juga dikenali sebagai syabu seberat 0.24 gram.


Benjy bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut, Sentul di sini, kira-kira jam 4 petang pada 11 Mac 2010.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau hukuman maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, rakan wanita berusia 23 tahun yang ditahan dan direman bersamanya dibebaskan dengan jaminan polis.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimah Mohd Noor menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Amer Hamzah memohon kepada mahkamah supaya jaminan dikurangkan menjadi RM1,000.


Mahkamah membenarkan Benjy diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan kes.

0 ulasan:

Catat Ulasan