KUALA LUMPUR: Dua penuntut kolej dikenakan bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba menunaikan cek bukan milik mereka minggu lalu.
Majistret Mohd Azali Ibrahim memerintahkan Mohamad Shahir Zakaria dan Mubisshafik Mansor, kedua-duanya 21 tahun, dijamin dengan bon bercagar sebanyak RM2,000 selama dua tahun setelah mereka mengaku bersalah cuba menunaikan sekeping cek bernilai RM8,000 yang bukan milik mereka di Maybank Jalan Sungai Besi pada 3.55 petang 15 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 511 dan Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Naqiah Muda manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Aiza Zamran.
Naqiah, ketika memohon hukuman yang ringan, berkata Mohd Shahir dan Mubisshafik masih menuntut dan sekiranya mereka dihukum penjara, ini akan menjejaskan masa depan mereka.-Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan